MENANGANI SIFAT MARAH
Dalam
menangani sifat marah, kita sebagai umat Islam harus bertoleransi dan
persefahaman antara sesama manusia. Hindarkan sebab atau punca yang boleh
menyebabkan orang lain memarahi kita. Sekiranya kita yang dimarahi janganlah
pula kita mengeruhkan keadaan. Kita juga harus memainkan peranan untuk
memadamkan api kemarahan itu. Hadapilah orang yang sedang marah dengan tenang
dan bantulah dirinya mencari punca kemarahannya. Bagi orang sering marah,
renung dan hayatilah firman Allah bermaksud: “Dan juga (lebih baik dan lebih
kekal bagi) orang yang menjauhi dosa besar serta perbuatan keji; dan apabila
mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka
memaafkannya.” (Surah al-Syura ayat 37).
Marah
adalah penyakit yang sepatutnya dihindari, tetapi marah juga amat perlu dalam keadaan
tertentu. Seorang bapa wajib marah jika ahli keluarganya sengaja tidak mahu
mengikut ajaran Islam. Jika mereka dalam tanggungannya sengaja melanggar
perintah Allah, ketua keluarga wajib menegur dan memarahi.
Rasulullah
marah apabila hukum Allah dilanggar dan dipermainkan, tetapi harus ingat bahawa
marah bukan marah yang mengikut hawa nafsu, melepaskan geram dan melayangkan
kaki tangan sehingga memukul sebaliknya ia mestilah bertujuan mendidik untuk
menunjukkan ketidaksenangan kita terhadap perbuatan maksiat itu. Inilah cara
Islam mengarahkan sifat marah yang semula jadi pada diri manusia, supaya ia
membawa kebaikan kepada manusia dan bukan membawa kebinasaan.
Ingatlah
marah adalah senjata. Ia boleh membawa manfaat dan ia juga boleh membawa
mudarat. Orang pandai dan kuat, adalah orang yang dapat mengawal kemarahannya
agar ia membawa manfaat, bukan mudarat.
No comments:
Post a Comment